Sentuhan Qasidah

Published October 9, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Saya terpanggil untuk menulis sesuatu tentang Yayasan Al-Jenderami yang terletak di perkampungan Jenderam Hilir, Daerah Sepang. Kawasan ini mula menarik perhatian ramai sejak akhir-akhir ini dengan aktiviti pengajian ala-ala pondok yang diadakan setiap hari. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa nama Yayasan ini telah tersohor di seluruh dunia khususnya pencinta agama.

Alunan qasidan dan selawat memuji nabi saw yang meruntun jiwa

Alunan qasidah dan selawat memuji nabi saw yang meruntun jiwa

Acara tahunan yang diadakan ialah Ijtima’ Ulama Pondok senusantara yang menghimpunkan tokoh-tokoh ulama tersohor dari Malaysia, Indonesia dan Thailand. Selain itu, ulama-ulama luar dari Timur Tengah juga dijemput untuk memeriahkan lagi pengisian kolokium tersebut. Ijtima’ ini akan diisi dengan pembentangan kertas kerja, majlis maulid dan macam-macam lagi. Yang penting, di majlis sebegini kita dapat bertemu dengan ulama-ulama yang terkenal antaranya seperti Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari yang digelar Al-Azhar As-Thani [Al-Azhar Kedua] memandangkan kealimannya dalam bidang agama sehingga penuntut Malaysia/Indonesia yang belajar di Mesir akan juga belajar dengan dia dan ramai lagi para alim ulama dan tuan-tuan guru. Saya paling kagum dengan mudir Yayasan ini iaitu Tuan Guru Hafiz. Beliau adalah seorang “self-made”  tuan guru kerana beliau belajar sendiri dengan menadah kitab dari tuan-tuan guru pondok semasa bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Kerana kerajinan, keikhlasan dan kesungguhan beliau belajar maka beliau berjaya memahami hampir keseluruhan kitab-kitab lama seperti munyatul musolli karangan Syeikh Daud Al-Fathani. Ini membuktikan bahawa orang awam seperti kita juga sebenarnya mampu untuk jadi seperti beliau jika kita rajin,tekun dan yang paling penting ialah IKHLAS kerana Allah. Saya teringat satu hadith yang bermaksud:

“Sekiranya Allah inginkan kebaikan kepada sesorang hambanya, maka Dia akan memberi hambaNYA itu kefahaman yang mendalam tentang agamanya”.

Rasanya Tuan Guru Hafiz telah diberi kebaikan oleh Allah swt hasil pengetahuannya yang mendalam dalam agama yang diperolehi lewat perjalanan hidupnya yang semakin dewasa. Beliau telah dipilih untuk mendalami dan memahami agama dalam usianya yang agak lewat.

Saya pernah sekali pergi melawat yayasan ini di Jenderam, ternyata sangat menenangkan jiwa. Malahan Yayasan ini sedang berkembang dengan adanya hotel dan lain-lain perkhidmatan seperti rumah untuk warga emas yang memilih untuk mengabdikan diri kepada Allah lewat kehidupan yang masih tersisa. Aktiviti harian dipenuhi dengan jadual pengajian yang ketat dan amalan-amalan sunat yang mendekatkan diri dengan Allah. Selain itu, perkhidmatan klinik kesihatan juga disediakan di sini. Memang lengkap.

Antara yang paling menarik perhatian ialah alunan Qasidah yang memuji-muji Nabi Muhammad saw yang dialunkan oleh penuntut-penuntut yayasan ini. Seringkali kumpulan ini dijemput untuk mengalunkan qasidah di majlis-majlis penting dan acara-acara rasmi.

Qasidah yang terkenal ialah yang dipopularkan oleh  Imam al-Bushiri. Nama penuhnya Muhammad bin Said bin Hamad al-Shonhaji al-Bushiri. Lahir di Bahtim, Mesir pada 608H (1212M). Beliau wafat di Iskandariyah Mesir pada 696H (1296M). Qasidah ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Berikut saya petik tulisan Ustaz Fahmi Zamzam al-Nadawi [dengan izin]:

“Adalah disebutkan dalam sejarah bahawa Imam al-Bushiri pengarang qasidah Burdah ini telah ditimpa penyakit lumpuh sebelah badan. Bermacam-macam usaha telahpun dilakukan dalam membuat rawatan, namun penyakit lumpuh itu tetap juga tidak sembuh. Akhirnya para doktor yang mengubatinya sudah berputus asa dari kesembuhannya.

 

Maka dalam keadaan badan yang sangat teruk ini timbullah satu ilham di hati beliau untuk mengarang sebuah qasidah puji-pujian terhadap Rasulullah saw. Rupanya badan yang lemah longlai ini masih lagi memiliki hati yang sangat cergas dan ingatan yang sangat tajam dan keazaman yang kuat. Maka dengan hati yang dipenuhi dengan kasih sayang dan kerinduan terhadap Baginda, Imam al-Bushiri melakarkan qasidahnya. Satu bait demi satu bait, satu rangkap demi satu rangkap sehingga qasidah dapatlah diselesaikan dengan jumlah bait syair sebanyak 161 bait.

 

Apa yang dirasakan dalam jiwa beliau semasa menggoreskan penanya ialah semoga dengan berkat memuji Baginda saw, penyakitnya akan disembuhkan oleh Allah swt. Maka sebaik sahaja beliau selesai dari qasidahnya terus beliau tertidur dan beliau bermimpi melihat Rasulullah saw dalam tidurnya. Baginda datang menziarahi beliau yang sedang sakit, lalu Baginda menyapukan tangannya yang mulia itu di atas badan Imam al-Bushiri yang sedang sakit itu dan setelah itu Baginda menyelimuti badan Imam al-Bushiri dengan sehelai selendang (Burdah).

 

Sebaik sahaja badan Imam al-Bushiri selesai diselimuti oleh Rasulullah saw lantas beliau terjaga dari tidurnya dan beliau mendapati bahawa penyakit lumpuhnya telah hilang. Badan beliau sihat seakan-akan tidak pernah ditimpa penyakit lumpuh itu. Dan oleh kerana kesembuhan badan beliau adalah menerusi keberkatan “Burdah” atau selendang yang telah diselimutkan oleh Rasulullah saw ke badan beliau, maka Imam al-Bushiri menamakan qasidah yang baru sahaja diselesaikannya itu dengan “Burdah” ertinya selendang.

Sebab itu, burdah dan qasidah yang memuji-muji nabi ini sangat popular di sini. Malahan amalan berselawat kepada nabi saw juga sangat ditekankan kerana dari amalan ini kita akan beroleh syafaat. Antara selawat yang popular adalah selawat syifa’ dan selawat tafrijiyyah untuk penyembuhan penyakit dan kelapangan hidup.

Mudah-mudahan yayasan ini akan terus berkembang dan mana tahu mungkin satu hari nanti kita akan menjadi salah seorang penghuninya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: