Jangan memandang rendah

Published November 17, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 Dengan izin Ishafizan Ishak

Ketika minum di sebuah restoran baru-baru ini, saya terpaksa berkongsi meja dengan seorang pengawal keselamatan kerana meja tidak mencukupi dan orang ramai pada waktu tersebut. Pengawal keselamatan berkenaan acap kali saya temui kerana saya selalu singgah di restoran berkenaan bersama seorang kenalan rapat. Namun selalunya saya tidak sempat berbual panjang dengannya, cukup sekadar bertanya khabar dan tempat tinggal. Saya kira usianya sedikit muda dari saya namun masih membujang.

Hari itu, meja betul-betul penuh dengan orang ramai dan yang kosong hanyalah meja pengawal keselamatan tersebut. Saya meminta izin bersama seorang teman untuk tumpang duduk di situ dan dia dengan berbesar hati memberi keizinan. Saya melihat beliau sedang menikmati teh tarik yang dipesan sambil pandangannya dilemparkan ke luar tingkap restoran. Pandangan yang penuh bermakna sambil melihat hujan yang turun lebat di luar.

Saya memulakan perbualan. Perbualan berkisar mengenai fenomena hujan yang tidak henti-henti sejak akhir-akhir ini. Kawan saya menyambut dan pengawal keselamatan tersebut juga memberi komennya. Saya pergi jauh lagi dengan membuka topik kejadian gempa bumi dan tanah runtuh yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Saya menyatakan bahawa fenomena alam yang luar biasa ini adalah manifestasi kepada tanda-tanda akhir zaman. Bumi semakin tua dan kiamat makin dekat. Sangkaan saya  perbualan kami bertiga sementara menunggu hujan seriyat akan berlaku secara santai dan bersahaja, rupa-rupanya meleset sama sekali.

Pengawal keselamatan tersebut nampaknya berminat dan mula membuka cerita-cerita tentang tanda-tanda akhir zaman. Kisah kelahiran Dajjal, Nabi Isa as dan Imam Mahdi dikupas dengan begitu terperinci sehingga membuatkan saya dan kawan saya terlopong mendengarnya. Beliau menguasai keadaan dan terus bercerita dan bercerita dengan bersungguh-sungguh. Saya mendengarnya dengan teliti dan mengakui hampir 99% yang diceritakan adalah tepat dan benar seperti yang pernah saya baca dari buku-buku peristiwa akhir zaman dan hadith-hadith yang berkaitan dengannya. Tambah menarik, beliau turut menyokong dengan membawa hujah-hujah dari hadith dan Al-Quran. Betapa kagumnya saya, betapa terkejutnya kawan saya melihat seorang pengawal keselamatan biasa boleh mengupas kisah peristiwa akhir zaman dengan terperinci sekali. Hatta orang terpelajar sendiri pun belum tentu dapat mengupas peristiwa akhir zaman ini dengan begitu akademik sekali.

Sambil berbual saya sempat melihat ke meja sebelah. Orang di meja sebelah sesekali menjeling dan mencuri dengar perbualan kami bertiga. Mungkin mereka merasa pelik kerana pada zaman moden ini, masih ada manusia yang boleh duduk berbincang hal-hal yang bersangkutan dengan akhirat sedangkan majoriti manusia hari ini masih sibuk berbincang mengenai saham,projek dan keuntungan dunia.Tiada masa yang diperuntukkan untuk berbincang persoalan akhirat.

Saya bertanya kepada beliau dari mana beliau mendapat maklumat ini. Beliau menjawab melalui pembacaan dan kuliah-kuliah ilmu yang diadakan di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur.

Tidak lama kemudian hujan pun berhenti dan saya meminta izin untuk beredar meninggalkan beliau setelah hampir setengah jam puas mendengar kisah beliau. Beliau mengucapkan terima kasih dan berharap dapat berjumpa dengan saya lagi untuk menyambung cerita-cerita ini kerana nampaknya saya juga mempunyai maklumat yang sama dengan beliau. Saya tersenyum dan berkata mudah-mudahan Allah izinkan.

Dalam perjalanan pulang kawan saya berkata :

“Tak sangka ya, pengawal keselamatan tu, seorang yang sangat berilmu. Aku sendiri tak tahu sangat mengenai peristiwa akhir zaman ini”

“Itulah kau, lain kali kita jangan sesekali memandang rendah kepada orang lain. Mungkin pada zahirnya kerja beliau tak glamour,dipandang rendah tetapi hakikatnya ilmu yang dimiliki beliau sangat hebat. Orang mungkin tidak mengenali beliau kerana beliau bukan seorang ‘public figure’ namun  penghuni di langit mungkin mengenali beliau, kerana keilmuan dan ketakwaan beliau “ saya menambah.

” Ramai di antara kita tidak pernah mahu ambil pusing mengenai ilmu yang menandakan dunia ini makin sampai ke penghujungnya kerana bagi kita itu semua bukan prioriti pada masa kini. Sebaliknya kehidupan dunia adalah keutamaan yang perlu difokuskan sehingga kita lupa atau mengabaikan keutamaan-keutamaan akhirat yang lebih penting dan lebih prioriti . Nabi saw bersabda :

” Secerdik-cerdik  manusia adalah mereka yang selalu mengingati mati” saya berhujah.

Betullah cakap kau tu. Aku insaf sekarang. Selama ni aku memandang rendah kepada orang-rang yang bekerja kasar seperti pengawal keselamatan dan buruh-buruh binaan. Aku ingat mereka tu tak tahu apa-apa pun. Rupa-rupanya aku silap kerana di antara mereka ada yang berilmu tinggi dan bertaqwa.”

” Kau pernah mendengar kisah Uwais Al- Qarni?” tanya saya.

Kawan saya mengangguk.

” Beliau adalah seorang yang sungguh istimewa di sisi Allah. Penduduk dunia tidak mengenali beliau tetapi seluruh penghuni langit yakni para malaikat cukup mengenali beliau. Malahan Nabi saw menyuruh para sahabat supaya meminta Uwais mendoakan mereka kerana doanya sangat makbul. Walaupun dari sudut fizikalnya tidak kacak,berkulit hitam, menghidapi penyakit sopak namun Uwais cukup terkenal dan istimewa di sisi Allah kerana keimanan,keilmuan dan ketakwaan yang dimiliki beliau. Beliau adalah seorang tabi’en yang hidup di zaman Nabi saw namun tidak berpeluang berjumpa Nabi saw kerana faktor logistik. Beliau tinggal jauh di negeri Yaman dan hanya sempat berjumpa dengan para sahabat terutamanya Sayyidina Umar semasa menunaikan haji di Makkah selepas kewafatan Nabi saw”.

“Justeru jangan pandang orang lain sebelah mata, kalau dia datang menemui kita dengan pekerjaan yang rendah kerana mungkin solatnya lebih khusyuk dari kita, puasanya lebih diterima oleh Allah dari kita, ibadah-ibadah sunatnya melebihi kita” ujar saya lagi.

‘ Dan jangan pula memandang tinggi orang yang mempunyai jawatan yang tinggi, kerjaya yang berprestij, pakaian yang mahal dan kemas kerana belum tentu dia seorang yang baik dari segi ketaqwaannya.”

Orang yang mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dan ketakwaan itu diukur dari sejauh mana ketaatan  dan keimanan seseorang itu kepada Allah. Bukan dinilai berdasarkan rupa paras, harta benda atau fizikal.

Saya berfikir panjang. Kawan saya juga merenung panjang. Selepas ini perlu lebih berhati-hati dengan penilaian kami terhadap manusia lain. Memang sukar. Tetapi itulah hakikatnya, manusia suka memandang tinggi perkara-perkara yang zahirnya cantik, elok pada pandangan mata kasar sedangkan pandangan secara lahiriah dan holistik ke atas sesuatu perkara jarang digunakan. Sama-sama kita ubah persepsi ini.

Abu Wafi, Putrajaya

4 comments on “Jangan memandang rendah

  • yer..saya akui.sy baru terjumpa blog ini. ini blog tempatan ketiga sy suka selepas SaifulIslam.com n langitilahi (hilal asyraf)..teruskan penullisan anda.tahniah..salam ;-)

    • Terima kasih atas kesudian saudari yg sudi menjenguk blog saya yang tidak seberapa ini. Namun untuk membandingkan dengan nama-nama besar seperti Saifulislam dan Hilal Asyraf rasanya terlalu jauh bagaikan langit dengan bumi. Mereka lebih banyak berjasa kepada Islam dalam penulisan blog dan kini buku2 motivasi dakwah. Insyallah, berkat doa saudari, suatu hari nanti blog ini juga mampu melakukan perubahan kepada siapa sahaja yang menekuninya. Bukan berhajat untuk mencari glamour atau populariti, niat saya biarlah blog ini mampu menyentuh hati siapa sahaja yang membacanya. Alhamdulillah, saudara Hilal asyraf kebetulan saya kenali walaupun belum pernah bertemu namun pernah berbual di telefon, manakala Ustaz hasrizal telah beberapa kali saya ketemu, dan ternyata mereka adalah sumber inspirasi saya selama ini. Pada mulanya saya menulis secara santai sahaja dan menjadi serious bila sahabat saya arwah Khairil Hisham meninggal dunia. Dan kini ianya semakin jelas genre yang ingin saya bawa dan kongsikan bersama pembaca. Alhamdulillah,syukur kepada Allah kerana memberi kekuatan kepada saya untuk menulis walaupun kadang-kala saya kehabisan idea dan terlalu sibuk dengan tugas. Sebagai penjawat awam saya cuba menulis dari perspektif saya sebagai p.awam dan keadaan ini tentunya sedikit berbeza dengan org lain. Namun motifnya insyallah masih sama, yakni membawa manusia kembali kepada rasa bertuhan. Apa pun terima kasih, atas sokongan saudari.Moga Allah memberkati.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    %d bloggers like this: