Ungkapkan kata-kata terbaik

Published January 2, 2009 by Menikmati Takdir Langit

p8090038

Pernahkah anda diminta untuk memberikan ceramah, tazkirah atau kata-kata yang mengandungi nasihat kepada orang lain?

Pernahkah anda diminta untuk memberi nasihat kepada jiran,sanak saudara, sahabat handai yang mengalami masalah kehidupan?

Pernahkah anda memberi nasihat yang baik-baik kepada insan yang paling dekat dengan anda. Dan nasihat anda pula mengandungi ayat-ayat indah dari Al-Quran, hadith Nabi saw, kata-kata hikmah dari para sahabat?

Dan pernahkah anda menolaknya?

Saya kira ramai di antara kita yang pernah menerimanya. Malahan saya sendiri pernah diminta untuk memberi tazkirah kepada sekumpulan remaja lewat kepulangan saya ke kampung beberapa tahun lepas.

Seingat saya, saya pernah memberi tazkirah semasa menyertai satu kumpulan team building di Selama, Perak 6 tahun lepas. Sampai sekarang saya masih ingat lagi ayat-ayat Al-Quran yang saya petik untuk memberi semangat dan motivasi kepada para peserta.

Sebenarnya jika anda berpeluang atau diminta untuk memberikan nasihat-nasihat berguna kepada orang lain atau diminta memberi tazkirah atau “thought of the day” kepada orang lain MAKA ketahuilah ini merupakan KESEMPATAN yang diberikan oleh Allah untuk anda mengucapkan kata-kata terbaik kepada orang lain.

Firman Allah :
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”                                                                          [Surah al-Fushilat :33)

Betapa kita tidak menyedari bahawa kehidupan kita sehari-hari kebanyakan kata-kata yang keluar dari mulut kita dipenuhi dengan kata-kata yang tidak perlu,tidak baik, boleh mengundang kemarahan, boleh melukakan hati kawan dan yang ditakuti boleh menjerumuskan diri ke dalam dosa.

Dan terkadang kata-kata kita boleh menyebabkan hati orang yang mendengarnya terguris dan berbekas bertahun-tahun lamanya. Bukankah ini satu dosa? dan bukankah ini akan mengundangkan kemarahan Allah.

Bagaimana pula dengan gosip dan umpat mengumpat yang dilemparkan ketika kita duduk bersembang kosong dengan rakan-rakan di pejabat?

Justeru, jika anda diminta untuk mengungkapkan kata-kata terbaik kepada orang lain, maka jangan ditolak kesempatan ini. Mungkin kata-kata terbaik yang anda pernah ucapkan boleh memadamkan dosa-dosa anda akibat kata-kata buruk yang anda pernah lafazkan.

Fikirkan, dan renungkan.. alangkah indahnya jika nasihat dan kata-kata terbaik anda “berbekas” di hati orang lain dan sentiasa diingati sepanjang zaman. Alangkah indahnya, jika kata-kata terbaik kita itu mampu untuk mengubah hidup orang lain daripada negatif kepada kehidupan yang lebih bermakna.

Kata-kata terbaik adalah kata-kata yang bersumberkan dari Al-Quran, Hadith, kata-kata sahabat dan nasihat para ulama.   

_41873256_qaradawi_203

Kata-kata terbaik adalah kata-kata yang menyeru kepada kebaikan, mengerjakan amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Kata-kata terbaik adalah kata-kata yang mengajak insan lain supaya mentaati Allah dan menjauhi segala larangannya.

Kata-kata terbaik adalah kata-kata yang menceritakan tentang pembalasan syurga dan neraka di hari akhirat.

Kata-kata terbaik adalah kata-kata terindah yang menusuk kalbu dan membekas di dalam jiwa seterusnya membentuk mukmin bertaqwa.

Kata-kata terbaik sukar untuk disanggah kerana ungkapan ini penuh dengan kebenaran.

Kata-kata terbaik boleh memberikan kelegaan dan kepasrahan kepada sesiapa yang mendengarnya.

Ingatlah, tanpa ungkapan kata-kata terbaik diucapkan dari mulut kita maka banyaklah manusia yang akan tersesat dari landasan kebenaran.

Sabda Nabi saw : “Sampaikan dariku walau satu ayat”.

Sesungguhnya kita berkewajipan untuk menyampaikan apa yang hak dan yang batil.

” Macam mana saya nak menasihatkan orang lain sedangkan saya tak ada ilmu, gagap lagi,tak pandai bertazkirah, kena tanya ustaz” inilah ungkapan yang mungkin akan kedengaran jika sebahagian dari kita disuruh berdakwah kepada insan lain. Pada hal Nabi saw telah menyuruh kita supaya menyampaikan kebenaran dan kebatilan walaupun satu ayat. Mustahil tiada satu pun nilai-nilai murni dari Islam yang pernah kita pelajari untuk disampaikan kepada orang lain.

Contohilah, ketika Nabi Musa a.s diperintahkan oleh Allah supaya berjumpa Firaun dan mengajak beliau kepada kebenaran. Padahal Nabi Musa a.s seorang yang tidak lancar lidahnya berbanding saudaranya Nabi Harun a.s. Lantas, Nabi Musa berdoa :

“Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkan urusanku, dan lepaskan lancarkan lidahku, agar mereka memahami maksud perkataanku”. [Toha:25-28]

Allah swt telah memperkenankan doa baginda ini dalam ayat ke 36 dan ini merupakan satu petunjuk bahawa sekiranya kita mahu mengungkapkan kata-kata terbaik kepada orang lain maka mohonlah pertolongan dari Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika kita mahu insyallah Allah akan menggerakkan kemahuan kita agar menjadi tindakan.

Selagi nadi masih berdenyut,berusahalah setiap waktu dan keadaan untuk mengungkapkan kata-kata terbaik kepada rakan sekerja,jiran, saudara mara dan sahabat handai kerana amat malang sekali sekiranya kita semua dijemput menghadap Allah tanpa sempat mengucapkan kata-kata terbaik kepada orang lain.

[adaptasi dengan pengubahsuaian dari artikel tulisan sahabatku Faridul 2006]

ABU WAFI, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: